IPOH - Hujan lebat sekitar satu jam telah mengakibatkan hampir 250 kediaman di beberapa taman perumahan di sekitar bandar raya ini dinaiki air lewat petang Rabu.
Dilaporkan hujan bermula sekitar jam 7.15 hingga 8 malam itu menyebabkan air longkang berdekatan melimpah ke jalan dan bertakung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Azman Husin berkata, lokasi terlibat adalah di Lebuh Bercham, Taman Kinta Emas, Taman Cempaka, Kampung Tasek, Taman Desa Impian, Persiaran Tasek Timur 7, Taman Seri Gaya dan Jalan Salak.
Menurutnya, turut terjejas adalah di Kampung Sungai Rokam, Kampung Baru dan Pekeliling Ampang Baru, Jalan Ampang Baru 2, Flat Taman Mewah dan sekitar Ampang serta Bercahm.
"Panggilan kejadian itu diterima pada jam 8.27 malam memaklumkan berlaku kenaikan air mendadak hingga mencecah paras 0.5 meter.
"Anggota yang terlibat telah menjalankan pemantauan dan membantu penduduk keluar dari kediaman yang dinaiki air.
"Dalam operasi itu, terdapat dua warga emas yang mohon untuk dipindahkan ke kawasan selamat," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, operasi itu turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Simpang Pulai serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Pekan dan Pasir Pinji.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk mangsa terlibat.
"Operasi pemantauan masih dijalankan di kawasan-kawasan terlibat," katanya.