PERSATUAN sukan kebangsaan (NSA) diminta agar usah cemburu atau iri hati dengan peruntukan RM10 juta yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pembangunan bola sepak tanah air.
Perkara tersebut disuarakan penganalisis sukan tanah air, Dr Pekan Ramli, sambil menyifatkan sumbangan itu sememangnya wajar diberikan kepada FAM yang memerlukan suntikan dana pada ketika ini.
Justeru katanya, NSA perlu lihat perkara tersebut dari sudut positif dan berharap ini sebagai satu petanda baik kepada sokongan pemimpin tertinggi negara kepada pembangunan sukan.
"Jangan hanya memandang kepada pencapaian skuad Harimau Malaya yang kini menjadi bahan kecaman netizen. Sebaliknya berfikirlah dengan pemikiran yang terbuka dan matang tanpa dipengaruhi sentimen-sentimen negatif tidak menguntungkan.
"Pemberian RM10 juta kepada FAM dengan harapan digunakan sebaiknya untuk memajukan bola sepak negara itu tidak sebanyak mana sebenarnya berbanding apa yang FAM sumbangkan kepada sukan ini. FAM bekerja keras tanpa peruntukan khas dari kerajaan untuk menjadikan bola sepak satu-satunya industri sukan di negara ini.
"Nilai sukan bola sepak setahun berjumlah beratus juta ringgit, memberi sumber pendapatan kepada ribuan pemain dan pegawai, jurulatih, penjaja-penjaja kecil, pembekal-pembekal pakaian atau merchandise, ejen-ejen perjalanan, syarikat-syarikat penerbangan dan bas serta lain-lain.
"Sukan-sukan lain di negara kita ini tidak begitu, kalau ada liga sendiri pun tempohnya begitu singkat dan jumlah yang terbabit tidak sebesar mana dan turn-overnya pun mungkin hanya beberapa juta ringgit sahaja,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan memberi sumbangan RM10 juta kepada FAM sebagai tanda sokongan ke arah pembangunan mutu bola sepak negara.
Pada masa sama Pekan juga turut berharap agar lebih ramai pihak dapat menjadi satu pasukan dalam membangunkan kualiti bola sepak negara dan tidak hanya bergantung kepada FAM.
"Kalau kerajaan tak menyumbang dan mengharapkan industri bola sepak untuk berkembang dengan sendiri saya rasa ia satu tindakan yang tidak adil.
"Jadi saya minta persatuan sukan lain jangan cemburu, sebaliknya ambil perkara ini sebagai satu yang positif untuk mendorong mereka agar turut diberi perhatian pemimpin tertinggi negara,” katanya