Kilang didakwa buang sisa ke laut, lebih 100 nelayan bimbang

Iklan
Saluran daripada kilang yang didakwa membuang sisa buangan ke laut.
GEORGETOWN - Lebih 100 nelayan pantai di Batu 12 1/2, Jalan Pantai Kuala Kurau, Perak mendakwa bimbang dengan kawasan mereka mencari makan apabila ia tercemar dipercayai oleh sisa buangan kilang.

Difahamkan, perkara itu sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu namun tiada tindakan diambil ke atas kilang tersebut oleh mana-mana pihak berkuasa.

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kilang yang memproses udang dan sotong itu didakwa telah membuang sisa buangan ke laut berhampiran sehingga ia tercemar.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak segera menyiasat masalah pencemaran sisa buangan dari kilang berkenaan.

"Dalam tinjauan yang dibuat CAP baru-baru ini, kami diberitahu oleh nelayan-nelayan yang terlibat bahawa pengusaha kilang membuang sisa itu ke laut melalui saluran paip dan parit berdekatan.

"Selain mencemarkan air laut, bahan buangan tersebut juga menimbulkan bau busuk di samping menjejaskan pembiakan hidupan laut yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan dan penduduk tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Seorang nelayang menunjukkan parit yang tercemar akibat pembuangan sisa buangan dari kilang berkenaan.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Mohideen berkata, nelayan mendakwa, selain sumber pendapatan berkurangan hampir 50 peratus, mereka turut alami kerugian besar kerana sisa buangan dari kilang berkenaan melekat pada jaring dan tidak boleh digunakan lagi.

"Kita percaya, jika masalah ini dibiarkan, ia akan berlarutan dan boleh mengancam alam sekitar serta menjejaskan kehidupan nelayan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

"Oleh itu, kita berharap JAS Perak menjalankan siasatan segera selain tindakan tegas perlu diambil jika pengusaha kilang di situ didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan yang termaktub mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Selain itu katanya, pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pihak kilang tidak sewenang-wenangnya membuang sisa buangan dan masalah ini tidak berulang.

Tambahnya lagi, Jabatan Perikanan juga perlu campurtangan dalam masalah ini supaya nasib nelayan di kawasan berkenaan terbela dan pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada mereka yang mengalami kerugian akibat pencemaran itu.