Bot karam: 2 PATI maut, 6 masih hilang

Iklan
PATI yang terselemat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Teluk Ramunia di sini awal pagi Khamis

KOTA TINGGI - Sebuah bot dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam dalam satu kejadian di perairan Teluk Ramunia di sini, awal pagi Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian itu, bot membawa 27 PATI yang dipercayai datang dari Pulau Bintan, Indonesia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bot itu dilaporkan karam di kedudukan 0.8 batu nautika perairan Teluk Ramunia di sini pada jam 4.50 pagi tadi.

"Pada jam 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara dan telah menyalurkan maklumat kepada aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Indera Sakti yang berada dalam penugasan Op Benteng.

Iklan

"Hasil maklumat itu, aset TLDM berkenaan mengesan sasaran curiga pada jam 4.10 pagi sebelum bot dinaiki PATI bertindak melarikan diri secara agresif dan berbahaya lalu terbalik dan karam di lokasi kejadian.

"Seramai 21 mangsa berjaya ditemui yang mana 19 daripadanya terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki selamat, dua mangsa wanita ditemui mati serta enam lagi masih hilang di laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Iklan

Nurul Hizam berkata, Maritim Malaysia bersama agensi terlibat kemudiannya mengaktifkan Op Carilamat pada jam 6.40 pagi bagi mengesan baki mangsa yang hilang.