KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita empat lori yang dikesan menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram di dua kawasan di Jalan Abd Samad 2, Kapar dan Jalan Jeti, Pandamaran pada Selasa dan Rabu.
MPK memaklumkan, operasi itu dijalankan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran dan penguatkuasa MPK.
"Hasil siasatan mendapati, lori terbabit pernah melakukan kesalahan dan pernah disita sebelum ini.
"Ini menunjukkan mereka masih berdegil dan tidak serik melakukan kesalahan sama," kata kenyataan itu di Facebook pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, semua lori itu dibawa ke stor Pejabat Penguatkuasa MPK untuk tindakan selanjutnya.
"Pihak pasukan telah menyita empat lori terbabit di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil 21 Pembuangan, pelupusan dan pemungutan sampah MPK 2007," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MPK turut memuat naik video lori yang memasuki kawasan terbabit bagi membuang sampah haram.
Menerusi video berdurasi satu minit tiga saat itu menunjukkan pemandu lori terbabit membuang sisa binaan sebelum berjaya ditahan pihak berkuasa.