Peranan institusi Presiden UMNO amat besar: Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM- Peranan institusi Presiden UMNO amat besar dalam memimpin dan menjaga perjalanan parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, presiden perlu memastikan asas penubuhan parti demi agama, bangsa dan negara terus dipertahankan.

Iklan
Iklan

"Presiden juga perlu pastikan parti ini yang pernah tewas angkara fitnah kekal relevan dan kembali diyakini selain memastikan parti ini terus berpihak kepada rakyat di setiap masa dan tempat.

"Saya juga perlu menentukan UMNO kekal menjadi milik lebih 3.3 juta ahlinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, menjadi Presiden UMNO perlu teguh dan berani menghadapi segala rintangan dan cabaran.

Jelasnya, beliau perlu terus berpegang kepada kebenaran dalam semua keadaan dan jika terpesong, maka jati diri UMNO menjadi lenyap.

Iklan

"Dengan demikian, menjadi Presiden UMNO sarat dengan tanggungjawab serta pengorbanan. Namun segala pengorbanan itu berbaloi kerana perjuangan UMNO bermakna perjuangan untuk rakyat.

"Perjuangan untuk UMNO juga bermaksud perjuangan demi masa depan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Jelas beliau, tiada kesal dan sesal walau pelbagai rintangan yang berlaku dan perlu dihadapi demi memastikan UMNO terus utuh.

"Nukilan ini tercatat tatkala mengenangkan begitu banyak kisah suka dan duka menjadi Presiden UMNO. Semoga ALLAH terus memberi kekuatan dan keazaman untuk diri mengabadikan perjuangan ini,” katanya.