KUALA NERUS - Beberapa peniaga di sini mendakwa dikenakan syarat oleh pemborong supaya membeli barangan lain jika mahu mendapatkan sekotak minyak masak bersubsidi untuk dijual di premis mereka.
Seorang peniaga, Suriani Ibrahim, 43 berkata, situasi itu berlaku susulan masalah bekalan minyak masak bersubsidi yang kian kritikal sejak kebelakangan ini.
"Sebagai peniaga runcit kami tertekan kerana terpaksa berdepan dengan beberapa syarat yang dikenakan antaranya wajib melakukan urusniaga lebih RM200 seperti membeli barangan lain bagi mendapatkan minyak masak.
"Ada juga pemborong yang menetapkan pembelian dua kotak gula yang setiap satunya berharga antara RM33 hingga RM34 semata-mata untuk mendapatkan satu kotak minyak masak," katanya ketika ditemui di Kampung Padang Air, di sini, pada Khamis.
Menurut Suriani, sekiranya syarat itu tidak dipatuhi dia hanya boleh mendapatkan dua peket minyak masak yang tidak mencukupi untuk dijual kepada pelanggan.
"Sudah banyak hari bekalan minyak masak di premis saya terputus kerana saya tak mampu untuk dapatkan bekalan minyak masak kerana perbelanjaan saya meningkat.
"Kalau dapat dua peket pun saya tak boleh buat apa-apa dengan minyak itu. Tak cukup untuk dijual dan terpaksa saya pakai untuk kegunaan sendiri," katanya yang menjalankan perniagaan kedai runcit sejak lima tahun lalu.
Suriani berkata, ketiadaan bekalan barangan kawalan itu sejak sebulan lalu secara tidak langsung menyebabkan pelanggannya semakin merosot.
Katanya, dia menyifatkan situasi bekalan minyak subsidi kritikal yang dialami buat masa ini adalah yang terburuk pernah berlaku sepanjang lima tahun membuka kedai runcit.
Seorang lagi peniaga, Hamid @ Awang Rani, 72, berkata, dia terpaksa mencari di merata-rata tempat semata-mata mahu mendapatkan bekalan minyak masak itu.
Hamid berkata, premisnya juga sudah agak lama terputus bekalan minyak masak bersubsidi itu malah dia turut berdepan rungutan pelanggan yang sukar mendapatkan minyak masak berkenaan.
"Saya cari minyak masak ini sehingga ke kilang pengeluar di Gong Badak malangnya mereka juga mengakui tiada bekalan barangan itu.
"Walaupun jualan minyak masak bersubsidi ini tidak mendapat untung besar, saya simpati dengan golongan berpendapatan rendah atau peniaga yang sering menggunakan bahan itu untuk memasak," katanya.
Hamid merupakan antara individu paling lama berniaga kedai runcit di kawasan itu sejak 50 tahun lalu.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di laman sosial Facebook sebuah grup di daerah ini mendapati beberapa komentar ditinggalkan netizen berhubung situasi itu.
Ada antara mereka mengakui pernah melalui situasi sama iaitu dipaksa membeli barangan lain sekiranya mahu membeli minyak masak bersubsidi.