Empat beranak tidak mengaku tipu projek gali pasir RM1 juta

Iklan
Ting Kiong (tengah) bersama anak-anaknya tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menipu.

MELAKA - Empat beranak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud membabitkan kerugian RM1 juta tiga tahun lalu.

Wong Ting Kiong, 64, bersama dua anak lelaki Feling Wong Sing Jie, 27, dan Wong Sing King,43, dan seorang anak perempuannya, Amy Wong E Tim, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan dua pertuduhan terhadap Tiong Kiong yang dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, tertuduh didakwa dengan curang menipu, mendorong dan memperdayakan Chong Teamwork Marketing Sdn Bhd dengan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud.

Tindakan itu mendorong syarikat berkenaan melakukan pembayaran sebanyak RM1 juta menerusi dua keping cek berasingan pada jam 10.10 pagi 19 April 2019, di Ambank Melaka Raya.

Iklan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara 10 tahun, denda dan sebat.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari kemudian mencadangkan jaminan RM400,000 dengan mengambil kira jumlah kerugian tinggi terhadap mangsa.

Iklan

Hakim bagaimanapun memerintahkan tertuduh diikat dijamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Maziah Jiary Tajudin, tiga anak Ting Kiong yang didakwa atas dua pertuduhan sama turut membuat pengakuan tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang selain perlu melaporkan diri setiap 1 hari bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.