1,900 antivaksin guna sijil vaksin palsu

Iklan
Gambar kecil: Rohaimi

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 1,900 pelanggan antivaksin di sebuah klinik swasta di Marang dipercayai menggunakan sijil vaksin palsu tanpa mendapatkan sebarang suntikan di klinik tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, hasil siasatan mendapati tidak sampai 10 pelanggan di premis itu mendapatkan suntikan vaksin berbayar secara sah selepas klinik tersebut dibenarkan melakukan prosedur berkenaan sejak September tahun lalu.

Iklan
Iklan

Rohaimi berkata, status MySejahtera kesemua pelanggan terbabit kini disekat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan tidak lagi berfungsi.

"Setakat ini 1,223 butiran pelanggan yang telah dihantar kepada pihak vendor (vaksin) untuk dikemas kini status MySejahtera mereka.

Iklan

"Boleh dikatakan hampir keseluruhan pelanggan yang berurusan di klinik swasta itu tidak mengambil vaksin termasuk mereka yang berkhidmat dalam sektor kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) serta individu perseorangan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 23 individu telah diambil keterangan dan kesemua mereka mengaku membeli sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Iklan

Katanya, ada segelintir pelanggan mendakwa menggunakan suntikan air suling dan air garam sebagai helah semata-mata bagi membuktikan mereka telah mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"18 daripada 23 individu itu mengakui status MySejahtera mereka tidak dikemas kini, namun hanya dua orang sahaja yang membuat aduan ditipu.

"Pihak polis turut menerima maklumat daripada majikan yang mengesyaki kakitangan mereka terlibat dalam pembelian sijil vaksinasi Covid-19 palsu dan berdepan tindakan dalaman," jelasnya.

Rohaimi berkata, selain klinik swasta terbabit setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat dan tiada klinik swasta lain dikesan melakukan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu.