Pemain sayap Tottenham Hotspur, Steven Bergwijn tidak percaya dia berjaya mencapai impian setiap pemain bola sepak apabila turun bermain dari bangku simpanan dan menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-2 di Leicester City pada hari Rabu.
Pengendali Spurs, Antonio Conte, memasukkan Bergwijn pada minit ke-79 apabila pasukannya ketinggalan 2-1 dan nyata percaturan tersebut tidak silap dan skuad Lilywhites berjaya melanjutkan rekod tanpa kalah pasukan itu dalam Liga Perdana Inggeris kepada sembilan perlawanan hasil kemenangan tersebut.
"Para peminat mempunyai hari yang hebat. Saya gembira apabila berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan ini.
"Ini adalah impian untuk mana-mana pemain bola sepak untuk masuk sebagai pemain gantian dan mengubah permainan seperti ini.
"Ia adalah perlawanan yang hebat dan kami mempunyai banyak perlawanan yang akan datang. Kini kami perlu bekerja dan mengharungi setiap perlawanan,” kata Bergwijn.
Pada perlawanan tersebut, Leicester dilihat seperti sudah berjaya memperoleh kemenangan ke atas Spurs apabila Patson Daka dan James Maddison meledak gol awal dalam setiap babak sementara Harry Kane menyamakan kedudukan pada babak pertama untuk Spurs.
Bagaimanapun, Bergwijn, yang belum menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat musim ini, dimasukkan dari bangku simpanan untuk mengubah tempoh perlawanan dan memastikan kemenangan di penghujung babak permainan.
Dalam pada itu, bagi Conte, dia tidak mempunyai keraguan tentang kualiti yaang dimiliki oleh Bergwijn dan mahu mengekalkannya di kelab itu.
"Satu ketika dulu apabila seseorang bertanya kepada saya tentang Steven Bergwijn, Saya berkata bahawa bagi dia adalah pemain penting kerana dia mempunyai ciri-ciri seorang pemain yang kreatif di mana kami tidak mempunyai ramai pemain seperti itu disini.
"Bergwijn adalah pemain yang jika dia berada dalam keadaan fizikal dan kecergasan yang baik dia boleh memulakan perlawanan atau dia boleh masuk dan menukar permainan.
"Saya fikir dia adalah pemain penting dan sudah pasti kami gembira dengan apa yang dipersembahkan oleh Steven. Malah saya yakin pemain itu gembira untuk kekal bersama kami dan bermain untuk Tottenham," ujarnya.