Peniaga gerai makan didakwa buat hantaran jelik

Iklan
Seorang peniaga gerai makan didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Khamis atas pertuduhan membuat hantaran komen jelik di Facebook berhubung kegiatan judi di Klang pada November tahun lepas. - Gambar hiasan

KLANG - Seorang peniaga gerai makan didakwa di Mahkamah Majistret Klang pada Khamis atas pertuduhan membuat hantaran komen jelik di Facebook berhubung kegiatan judi di Klang pada November tahun lepas.

Tertuduh, Aemierulrizaki Rambli, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

Iklan
Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan iaitu menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook menerusi akaun 'Aemierulrizaki Rambli' dengan secara sedar membuat, mewujudkan atau meminta-minta dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh didakwa secara sedar menggunakan, membuat dan memulakan penghantaran jelik berhubung kegiatan judi yang dikatakannya 'tumbuh bagai cendawan' di pentadbiran Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Klang Selatan selepas pertukaran ketua polis daerah itu.

Iklan

Aemierulrizaki dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 6 petang di sebuah restoran di Jalan Pantai Redang, Sekinchan, Sabak Bernam, dekat sini pada 24 November 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) (i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjut RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli dan tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan. - Bernama