KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ramai menteri yang hilang semasa banjir melanda beberapa negeri pada Disember tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun di lapangan semasa banjir, tetapi menteri kabinet sebaliknya.
"Walaupun mesyuarat diadakan, tetapi banyak menteri hilang. Tidak dilihat di lapangan. Betul, Perdana Menteri ada. Tetapi menteri hilang dan ini bukan saya sebut di sini.
"Selepas sidang Parlimen saya beritahu Perdana Menteri ada yang memilih untuk menjalani umrah. Ini dia (menteri) yang ajar kita Fiqh Al-Aulawiyyat. Fiqh (bermaksud) ikut keutamaan.
"(Tetapi) rakyat mati, rumah hanyut dan kita pilih untuk melaksanakan umrah. Hal-hal ini mesti dibetulkan," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 Penggal Keempat di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sehubungan dengan itu, Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, penjelasan mengenai perkara ini perlu diberikan kepada rakyat agar ia tidak berulang kembali.
"Kalau pergi sebelum itu, balik segera kerana tanggungjawab kita sebagai menteri. Saya bukan nak meremehkan keperluan umrah, tetapi saya nak sebutkan yang diberi keutamaan,'" jelasnya.