Kedah bangunkan hab e-dagang dan logistik di Bukit Kayu Hitam

Iklan
Muhammad Sanusi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Affendi (kiri) dan Ku Abd Rahman (kanan) selepas memeterai MoA antara KT Express Logistics Sdn Bhd dengan Invest Kedah Berhad, di Wisma Darul Aman.

ALOR SETAR - Kedah mengukuhkan lagi kedudukan dalam pelaburan industri apabila Bukit Kayu Hitam bakal dibangunkan sebagai hab e-dagang dan logistik di utara tanah air.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor berkata, pelaburan bernilai RM1 billion ini melibatkan operasi import dan eksport barangan melalui jalan darat pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand menggunakan platform e-dagang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaburan berkenaan diyakini mampu menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat logistik antarabangsa, selain pelengkap kepada Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) yang dibangunkan di Bukit Kayu Hitam.

"Permulaan yang positif pada awal tahun ini diharap dapat merencanakan lebih banyak pelaburan untuk memacu perkembangan ekonomi negeri menuju suku tahun pertama 2022,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara KT Express Logistics Sdn Bhd dengan Invest Kedah Berhad, di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

Iklan

Perjanjian tersebut ditandatangani Exco Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kedah Berhad, Muhamad Mahazi Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif, KT Express Logistics Sdn Bhd, Datuk Affendi Mohamed Zain serta Ketua Pegawai Operasi KT Express Logistics Sdn Bhd, Mohd Shamsuri Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, dengan termeterainya persefahaman ini memberi petanda positif dan memberangsangkan kepada sektor pelaburan Kedah bagi tahun ini.

Iklan

"Invest Kedah Berhad bertindak sebagai penasihat pelaburan untuk KT Express Logistics dalam memastikan pelaburan syarikat berjalan lancar, seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada Kedah.

"Secara keseluruhannya, hab tersebut akan dibangunkan secara tiga fasa dalam tempoh lima tahun. Ia bakal muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035,” katanya.

Sementara itu Affendi memaklumkan, pembangunan fasa satu bermula April selama dua tahun, membangunkan gudang e-dagang berkeluasan 60,000 kaki persegi.

"Untuk fasa dua, akan dibina terminal hab e-dagang berteknologi tinggi dilengkapi teknologi hijau yang mana bangunan ini menggunakan teknologi solar, sistem robotik dan Auto Conveyor System dan Full Tracking System.

"Fasa ketiga pula untuk menjadikan gudang kami sebagai `Automated Fulfilment Centre’, dalam membantu peniaga kecil menyimpan dan mengeksport produk mereka,” katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan, dijangkakan sebanyak dua hingga lima kontena akan menghantar barang di hab ini yang mana setiap kontena dianggarkan mampu membawa antara 2,000 hingga 8,000 kotak barangan bergantung kepada saiz kotak.

Affendi berkata, Bukit Kayu Hitam dipilih sebagai hab utara berikutan lokasinya yang strategik dan berpotensi besar, selain perubahan pembelian masa kini yang memilih secara e-dagang.

"Hab melalui jalan darat juga dapat menjimatkan kos pembelian berbanding udara dan ia dapat membantu pertumbuhan peniaga-peniaga kecil yang mempunyai produk berkuantiti kecil untuk eksport dan menghantar barangan tempatan kepada pelanggan melalui jalan darat,” katanya.