KUALA LUMPUR - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengesa kerajaan menubuhkan tribunal pengampunan bekas tentera yang telah diberhentikan daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara pentadbiran atas sebab kesalahan tatatertib atau salahlaku yang kecil.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar, berkata tentera yang ditamatkan perkhidmatan kerana melanggar tatatertib seolah-olah seperti dihukum seumur hidup dan hak mereka untuk mendapatkan pelbagai keistimewaan dinafikan.
"Mereka tidak layak mendapat pelbagai keistimewaan bantuan yang disediakan oleh kerajaan termasuk rawatan perubatan percuma di hospital kerajaan, jadi tribunal pengampunan ini perlu diwujudkan segera,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pahlawan di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, bekas tentera dalam kategori dipecat ini tidak diiktiraf sebagai Veteran Angkatan Tentera Malaysia mengikut Akta 740 dan mereka tidak layak menerima faedah yang diterima oleh veteran.
"Bagaimanapun cadangan ini tidak melibatkan mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah tentera dan mahkamah awam atas sebab kes penderhakaan dan jenayah berat.
"Peruntukan penubuhan tribunal ini adalah sah dan termaktub di dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Jadi minta kerajaan wujudkanlah untuk membela nasib mereka, kad pesara tentera pun mereka tiada jadi macam mana hendak dapat bantuan,” ujarnya.
Sharuddin berkata, terdapat kira-kira 25,000 bekas tentera telah diberhentikan atas pelbagai sebab.
"Kira-kira 40 peratus daripada mereka boleh menerima sebahagian daripada faedah itu sekiranya tribunal ditubuhkan untuk meneliti kes berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, penubuhan lembaga pengampunan boleh diwujudkan bagi setiap negeri serta satu untuk Wilayah Persekutuan.
"Ramai dalam kalangan bekas tentera ini hidup miskin dan menghidap penyakit kronik, mereka perlukan bantuan rawatan di hospital kerajaan,” tegasnya,
Dalam pada itu, PVATM juga berharap skim pencen untuk veteran dan balu veteran dapat ditambah baik, dengan menyediakan elaun kepada mereka yang tidak menerima pencen.
"Ini termasuk memanjangkan tempoh pemberian pencen terbitan kepada isteri yang dikahwini oleh veteran dalam masa persaraan. Faedah ini hanya untuk veteran duda yang berkahwin semula semasa dalam persaraan.
"Kita syorkan tempoh pemberian pencen terbitan dipanjangkan daripada 20 tahun kepada 40 tahun (dari tarikh tamat perkhidmatan) dengan alasan terperinci mengenai perkara ini boleh diperjelas mengikut keperluan,” jelasnya.
Selain itu, kata Sharuddin lagi, kerajaan juga perlu mewujudkan elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai penghargaan di atas jasa dan pengorbanan dan ‘keberanian’ veteran tentera yang pernah menentang pengganas komunis di zaman darurat.