KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan tempoh kuarantin selama lima hari bagi pengembara dari luar negara yang telah menerima dos penggalak berkuat kuasa 24 Januari ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mereka perlu menjalani ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif Covid-19.
"Pada hari ketibaan, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR.
Hari keempat sama ada jalani RT-PCR atau ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) pada hari kelima yang diselia oleh petugas kesihatan.
"Pelepasan kuarantin adalah pada hari kelima jika ujian RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag pada hari kelima negatif,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.
Mengulas lanjut Khairy berkata, tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah lengkap divaksin dan tiada dos penggalak adalah tujuh hari.
Katanya, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif dan pada hari ketibaan.
"Mereka perlu menjalani RT-PCR pada hari kelima atau RTK-Ag pada hari ketujuh dan pelepasan kuarantin selepas keputusan negatif pada hari ketujuh,” katanya.
Dalam pada itu Khairy Jamaluddin memaklumkan, semua pengembara yang tiba dari luar negara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi menggantikan gelang pengawasan biasa berwarna merah jambu.
Katanya, pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi dan dibenarkan menjalani perintah kuarantin di kediaman sendiri, mereka juga masih dipakaikan gelang pengawasan digital.