MELAKA - Dua naskhah al-Quran terselamat dalam satu kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Taman Kenangan 3, Klebang Besar di sini, pada petang Khamis.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, naskah al-Quran berkenaan milik seorang warga emas yang kediamannya antara tiga buah rumah yang musnah dijilat api berkenaan.
Warga emas, Habibah Mad Sab, 63, berkata, ketika kejadian, dia seorang diri di dalam rumah sebelum terlihat kepulan asap dari tingkap rumahnya.
Menurutnya, ia kemudian bergegas keluar dan ternampak anak jirannya yang berusia 11 tahun berada dalam keadaan cemas berhampiran tilam yang sedang terbakar di rumah kanak-kanak itu.
"Saya terus mencapai dan menarik getap paip untuk padamkan api selain dibantu penduduk lain, namun tidak berjaya malah api merebak dengan cepat," katanya.
Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah motosikal anak lelakinya termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.
"Barang-barang lain tak dapat diselamatkan, namun dua naskhah al-Quran pemberian arwah anak tidak dijilat api, dan pertama kali berdepan keadaan itu," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Mohammad Fazzil Mohammad Yusof berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.08 petang sebelum 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dan BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, hanya dua daripada rumah itu yang berpenghuni dan lima mangsa yang berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri.
"Api dapat dikawal pada jam 4.31 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.