SHAH ALAM - Kad kredit menjadi antara punca menyebabkan peniaga kecil terbeban dengan hutang terutama ketika mengharungi musim sukar pandemik Covid-19.
Penasihat Korporat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Khairul Anuar Abdul Rahman berkata, kebanyakan peniaga kecil hanya membuat pembayaran minimum kad kredit setiap hujung bulan berbanding melunaskan sepenuhnya pinjaman tersebut.
"Terdapat sesetengah peniaga kecil sukar nak dapat pinjaman bank, jadi mereka pinjam menggunakan kad kredit. Isunya apabila dia menyalahgunakan kad kredit tersebut.
"Misalnya, apabila dia meminjam RM5,000 melalui kad kredit dan beli barang daripada pembekal dan sebagainya. Dia hanya bayar bayaran minimum setiap hujung bulan dalam kad kredit tersebut menyebabkan hutangnya bertambah setiap bulan.
"Sepatutnya, apabila dia dah dapat bayaran daripada jualan barang dan sebagainya, dia kena selesaikan amaun penuh yang dipinjam. Tetapi hakikatnya perkara ini selalunya tidak berlaku," katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Lelong, bankrup dan gulung tikar pasca pandemik pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, apabila situasi itu berlaku, hutang akan semakin bertambah dan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
"Semuanya menjadi sukar dan tidak terkawal apabila Covid-19 melanda sekali gus memberikan kesan kepada peniaga kecil tersebut.
"Mereka terbeban bukan hanya dengan hutang kad kredit, tetapi juga hutang rumah, kereta dan sebagainya sekali gus merisikokan mereka untuk muflis," katanya.