PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp mengakui kagum dengan aksi ‘berkelas dunia’ yang dipamerkan Diogo Jota pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga berdepan Arsenal di Emirates pada Jumaat.
Menurut Klopp, ketiadaan penyerang sensasi Mohamed Salah dan Sadio Mane ketika ini dilihat tidak memberikan masalah besar buat Liverpool apabila Jota membuktikan kemampuannya bagi menggalaskan tugas selaku penggempur.
Malah katanya, Jota dilihat telah mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan bagi menggalas tugas di tinggalkan Salah dan juga Mane.
"Bagi saya, Jota kini boleh dilabel selaku pemain penyerang berkelas dunia. Lihat sahaja kedua-dua gol yang dijaringkannya pada perlawanan ini.
"Untuk gol pertama, ia satu skil yang hebat daripada Jota manakala gol kedua pula cukup mengagumkan,” katanya.
Pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga di Emirates pada Jumaat, Jota menjaringkan dua gol pada minit ke-19 dan min-77.
Kedua-dua jaringan berkenaan nyata sudah cukup memadai bagi mengesahkan slot buat The Reds beraksi berdepan Chelsea pada final Piala Liga yang dijadualkan berlangsung di Wembley pada 27 Februari depan.
Sementara itu, Klopp mengakui, tindakan menandatangani dan membawa Diogo Jota ke Anfield pada 2020 sebagai satu tindakan tepat berdasarkan kepada pencapaian cemerlang yang dipamerkan pemain berkenaan.
Menurut Klopp, pemain Porutgal berusia 25 tahun itu ternyata memiliki kualiti yang diperlukan terutamanya bagi menambah sengat pada jentera serangan The Reds.
"Berdasarkan kualiti itulah yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk membawa masuk Diogo (Jota), yang sebelum ini beraksi dengan Wolverhampton Wanderers.
"Kini, dia boleh dikatakan sebagai antara tonggak penting buat pasukan kerana dia bukan saja boleh berlari, tetapi ada kalanya turut berkebolehan membantu benteng pertahanan dan gabungan skil-skil itu hingga membuatkannya seorang pemain yang istimewa.
"Malam ini (Jumaat), dia bukan sahaja beraksi cemerlang tetapi turut menjaringkan dua gol bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.