KOTA BHARU - Pemuda Umno Kelantan mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri melakukan siasatan menyeluruh melibatkan isu makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang tular di media sosial sejak Khamis.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, isu tersebut sekali gus membuka mata seluruh masyarakat untuk mengetahui apakah menu sebenar yang dihidangkan pihak berwajib kepada kumpulan berkenaan.
"Kami berasa betul-betul terkejut dengan isu makanan RMT sebagaimana yang ditularkan. Jika benar ia berlaku, maka siasatan perlu dilakukan.
"Jabatan Pendidikan Negeri perlu segera menyiasat hal ini. Perlu kenal pasti punca sebenar kerana amat tidak munasabah makanan yang tidak ada lauk ini menjadi hidangan kepada murid-murid," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurutnya, persoalan juga timbul adakah akibat pasca perintah kawalan pergerakan (PKP), pengusaha kantin didakwa hendak mengambil untung berlebihan bagi menutup kerugian yang mereka alami akibat sekolah tidak dibuka sekian lama.
Beliau juga mendakwa kemungkinan pengusaha sekolah disabotaj oleh pekerja masing-masing dengan membiarkan makanan berkuah sahaja susulan sekian lama tidak dibayar tunggakan gaji.
"Apapun, kami tidak menolak semua isu ini berkisar kepada masalah kewangan yang dialami oleh pengusaha kantin setelah hampir setahun terpaksa bercuti.
"Pihak kementerian perlu menyemak kembali kaedah dan kadar bayaran yang boleh diberikan kepada pengusaha-pengusaha kantin agar dapat memberi ruang 'bernyawa' kepada mereka," katanya.