PUTRAJAYA - Malaysia sedang menikmati perkembangan ekonomi yang memberangsangkan apabila Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor naik sehingga 48 peratus kepada RM80.5 Bilion bagi tahun 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, angka tersebut merupakan sebuah penunjuk pelopor penting bagi membantu orang ramai memahami kecenderungan keadaan ekonomi negara.
Jelas beliau, pertumbuhan FDI yang diluluskan itu ditambah dengan kenaikan 3.2 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) untuk bulan Januari 2019.
"Pertumbuhan pengeluaran perindustrian ini adalah lebih baik berbanding dengan konsensus pasaran 2.3 peratus seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg.
"Perkembangan ini adalah selaras dengan angka-angka positif yang dicatatkan oleh Malaysia dan kecenderungan positif ini dijangka akan berterusan walaupun negara berhadapan dengan cabaran luaran," katanya.
Menurut Guan Eng, kepimpinan yang jelas dan bersih yang disediakan kerajaan dalam membimbing ekonomi negara telah membantu meningkatkan FDI yang diluluskan sepanjang tahun lepas.
"Untuk separuh tahun pertama 2018, FDI yang diluluskan bagi semua sektor adalah hanya RM26.5 Bilion, namun demikian, nilai itu meningkat dengan mendadak kepada RM54.0 bilion pada separuh tahun kedua," katanya.
Tambah beliau, peningkatan ketara itu juga memperlihatkan peranan penting yang dimainkan Malaysia sebagai sebuah hub pembuatan bagi rantau ini dan juga ruang selamat (safe haven) untuk rantaian bekalan antarabangsa ketika perang dagang antara Amerika Syarikat dan China berlanjutan.
"Malah, jumlah FDI pembuatan yang diluluskan daripada China telah meningkat kepada RM19.7 bilion pada tahun 2018, iaitu satu peningkatan 410.8 peratus atau RM15.8 bilion daripada RM3.9 bilion pada tahun 2017.
"Pada masa yang sama, FDI daripada Amerika Syarikat naik 184.9 peratus atau sebanyak RM2.1 bilion kepada RM3.2 bilion pada tahun lepas berbanding RM1.1 Bilion pada tahun 2018," ujarnya.
Bagaimanapun, Guan Eng berkata, bukan Amerika Syarikat dan China sahaja yang sedang mempertingkatkan pelaburan mereka tetapi pelabur-pelabur Indonesia akan melabur sebanyak RM9 bilion dalam bidang pembuatan.
"Ini merupakan peningkatan yang drastik memandangkan pada tahun 2017, pelaburan yang diluluskan daripada Indonesia adalah RM0.5 juta sahaja. Ini menjadikan Indonesia sebagai sumber FDI kedua yang terbesar selepas China untuk tahun lepas," jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuannya bagi meningkatkan kualiti pertumbuhan dan memastikan supaya hasil pembangunan negara dapat dinikmati bersama oleh pelbagai lapisan masyarakat.