Agong pandang serius isu pembuangan toksik di Sungai Kim Kim

Iklan
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandang serius insiden pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang dimasukkan ke hospital disebabkan kesan sisa toksik.

Iklan
Iklan

"Baginda berdoa dan berharap supaya 480 mangsa dilaporkan menjalani rawatan saringan awal di Medic Base, Stadium Tertutup Pasir Gudang, berupaya menjalani pemeriksaan dengan baik.

"Baginda juga memohon seluruh rakyat Malaysia berdoa supaya keadaan pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang tidak akan mengakibatkan keadaan yang lebih memudaratkan demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya memaklumkan titah baginda dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih dan menyokong tindakan segera yang diambil kerajaan negeri serta agensi berkaitan, terutama Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Hari ini, jumlah pesakit mendapat rawatan akibat pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim menurun kepada 371 orang berbanding semalam iaitu 491 mangsa.

Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata jumlah terkini itu menunjukkan penurunan bilangan pesakit yang masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai.

Jelasnya, seramai 185 mangsa yang mendapat rawatan di tiga hospital itu sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, manakala 65 pesakit baharu dimasukkan ke wad.

Tambahnya, seramai lapan orang masih diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.