Jemaah manfaat kelonggaran dengan pematuhan SOP

Iklan
Setiap jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz didapati membawa sejadah sendiri, malah masing masing beratur dengan tertib untuk mengimbas aplikasi MySejahtera

SHAH ALAM - Walaupun Selangor membenarkan solat Jumaat menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah sepenuhnya, namun prosedur operasi standard (SOP) tetap menjadi keutamaan.

Bilal Masjid Al Ikhlas Seksyen 13, Ahmad Kamil Mohd Mokhtar, berkata, dengan kelonggaran ia diharapkan dapat memberi peluang kepada masyarakat menunaikan solat di masjid berkenaan.

Iklan
Iklan

"Walaupun begitu, setiap jemaah perlu terus mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk sebelum ke masjid dan mengimbas suhu badan mereka.

"Selain itu, mereka juga perlu mengimbas aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan seperti mana rutin sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, Nazir Masjid Al Azhariah Sekyen 18, Abd Karim Mansoor berkata, kehadiran jemaah di masjid berkenaan bertambah selepas kebenaran itu diumumkan pada Selasa lalu.

Menurutnya, masjid berkenaan mampu untuk memuatkan lebih 500 jemaah dalam satu masa dan setiap jemaah yang hadir akan dipastikan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti mana sebelum ini.

Iklan

"Ya tiada kelonggaran SOP kerana SOP tetap perlu dipatuhi oleh setiap jemaah seperti mana sebelum ini walaupun kita membenarkan ruang masjid ini untuk digunakan dengan sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini mendapati jemaah di masjid berkenaan turut memanfaatkan kelonggaran yang diberikan dengan pematuhan SOP.

Setiap jemaah didapati membawa sejadah sendiri, malah masing masing beratur dengan tertib untuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum menunaikan solat Jumaat dengan jarak yang ditetapkan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, semua masjid dan surau di Selangor yang mendapat kebenaran solat fardu Jumaat dibenarkan untuk menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah secara sepenuhnya bagi menunaikan solat itu bermula pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berkenan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter.

Kehadiran jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini juga bertambah susulan kelonggaran yang diberikan.