KPKT beri tumpuan sedia rumah mampu milik berkualiti

Iklan
Reezal Merican - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tumpuan dalam memastikan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia merupakan salah satu daripada enam fokus Malaysia Berdaya Huni.

Iklan
Iklan

"Penyediaan rumah mampu milik merupakan teras utama kementerian," katanya.

Menurutnya, kementerian mempunyai misi menyediakan 500,000 unit rumah yang perlu dilunaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Iklan

"Jumlah ini bukanlah kecil tetapi kita perlu ada strategi untuk memastikan ia dicapai," katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu dan Pelancaran Rangka Kerja Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan di kementerianny, pada Jumaat.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diaktifkan semula.

Iklan

"PM (Ismail Sabri) telah pun bersetuju untuk kita adakan mesyuarat pertama pada 31 Januari ini," katanya.

Reezal berkata, PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan terus menjadi tunjang KPKT dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk kumpulan B40 dan M40.

"Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) di bawah Jabatan Perumahan Negara juga akan memperkukuhkan lagi ikhtiar kita bagi menyediakan program perumahan kepada Keluarga Malaysia yang memerlukan," katanya.

Ujarnya, tindakan sewajarnya sedang diambil terhadap beberapa projek sakit dan lewat dalam memastikan projek KPKT dapat disampaikan sebaiknya kepada rakyat.

"Di Facebook saya sentiasa dihujani dengan keluh kesah rakyat berkenaan dengan projek KPKT sendiri.

"Semua ini dalam radar saya," katanya.

Jelasnya, 'War Room' Perumahan ditubuhkan bagi melihat data-data perumahan termasuk projek sakit, lewat dan terbengkalai.

Beliau berkata, pihaknya juga bakal melancarkan Sistem Pengurusan Rumah Bersepadu (HIMS) tidak lama lagi sebagai satu data 'gateway' dalam soal perumahan.

Jelasnya, HIMS juga merupakan satu daripada aplikasi teknologi Big Data Analytics untuk KPKT lihat stok rumah, corak permainan, demografik pembeli dan sebagainya.

"Aplikasi teknologi ini juga termasuklah item dalam enam bidang fokus KPKT," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian sedang merangka penubuhan Majlis Bandar Pintar Negara bagi melihat aspek dan amalan terbaik yang dapat membawa perbandaran ke tahap lebih baik.

"Pendigitalan perkhidmatan PBT merupakan antara jalan yang kita akan lihat bersama.

"Kita bercakap dalam dunia yang 'literally and digitally hyperconnected' dengan persekitaran berteraskan IR 4.0 serta pembangunan infrastruktur digital 5G," katanya.

Selain itu, KPKT turut memperkasakan pembangunan komuniti bandar, mempertingkat kesiapsagaan kebombaan dan penyelamatan, mengutamakan kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan bandar hijau serta transformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran.