PASIR GUDANG - Seorang ibu dari Taman Pasir Putih tidak puas hati apabila diminta mengemukakan MyKid bayinya yang tertinggal ketika hadir bagi mendapatkan rawatan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
Saloma Hassan, 39, mendakwa dia tiba di pintu masuk 'medic base' namun diminta membawa MyKid sebelum boleh mendapat rawatan.
"Saya terlupa bawa MyKid anak sebab dah kelam kabut tadi tengok anak macam ini.
"Apabila dah sampai sini disuruh saya ambil MyKid dulu," katanya.
Katanya lagi, dengan keadaan yang membawa anak-anaknya yang lain, dia juga terpaksa parkir keretanya di kawasan yang agak jauh.
"Saya datang sini sebab kecemasan tapi kamu tanya saya MyKid.
"Itu kita boleh selesaikan kemudian, kan... sepatutnya memudahkan kita, ini menyusahkan," katanya kepada media.
Pihak media menyedari keadaannya yang kelihatan cemas dan tergesa-gesa meninggalkan Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
Sebelumnya Saloma memberitahu dua anaknya yang bersekolah di SK Taman Pasir Putih baru sahaja dibenarkan keluar hospital selepas beberapa hari menerima rawatan akibat pencemaran kimia di Sungai Kim Kim.