Kerajaan salur RM20.147 bilion kepada 357,429 majikan melalui PSU

Iklan
Tengku Zafrul - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan secara keseluruhannya telah menyalurkan sebanyak RM20.147 bilion kepada 357,429 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2,951,854 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata di bawah PSU 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) apabila permohonan subsidi upah yang diluluskan mencapai nilai RM12.956 bilion.

Iklan
Iklan

"Di bawah Pakej PRIHATIN, PSU adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

"Subsidi sehingga RM1,200 sebulan tersebut akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bagi membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19.

Iklan

"Program tersebut dilanjutkan untuk tiga bulan tambahan di bawah Pakej PENJANA dan secara keseluruhannya, subsidi yang diberikan kepada majikan adalah untuk tempoh enam bulan,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-82 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata di bawah PSU 2.0, bantuan subsidi upah tersebut dilanjutkan untuk tiga bulan tambahan bagi majikan sedia ada yang menerima PSU manakala bantuan PSU selama enam bulan diberikan kepada semua permohonan antara 1 Okt 2020 dan 31 Dis 2020.

Iklan

"Setakat 7 Jan 2022, sejumlah RM1.405 bilion telah disalurkan kepada 81,080 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 716,885 pekerja,” katanya.

Katanya kerajaan telah melanjutkan pelaksanaan PSU 3.0 selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah.

"Setakat 7 Jan 2022, sebanyak RM3.612 bilion telah disalurkan untuk mengekalkan penggajian 1,521,767 pekerja.

"PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan pelaksanaan PSU bersasar kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah jualan atau pendapatan pada Oktober 2021 hingga Disember 2021 berbanding mana-mana bulan pada tahun 2019 hingga 2021 sebelum penularan COVID-19.

Katanya langkah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta di bawah Bajet 2022.

"Permohonan telah dibuka sejak 1 Jan 2022 hingga 31 Mac 2022 namun majikan dari sektor dan aktiviti industri yang tidak tersenarai tetapi masih terjejas akibat penularan COVID-19 masih boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian kepada PERKESO,” katanya.

Beliau berkata inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada lebih 26,000 majikan dan 330,000 pekerja serta maklumat lanjut mengenainya, boleh layari https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html

Sementara itu, katanya kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.

"Setakat 14 Januari, terdapat 730 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 376 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM75.5 juta,” katanya.

Di bawah PENJANA, katanya kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta untuk membantu dan menggalakkan PKS dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

"Setakat 31 Disember, sejumlah RM90.0 juta telah disalurkan kepada 13,889 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi,” katanya. - Bernama