Emir Qatar bertemu Tun Mahathir di KL

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad


DOHA - Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, dijadual berada di Malaysia minggu ini untuk memberi penghormatan kepada para pemenang Anugerah Kecemerlangan Pencegahan Rasuah Antarabangsa Sheikh Tamim Hamad Al Thani dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Jumaat ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menghadiri majlis itu, yang dianjur dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Dr Mahathir dan Sheikh Tamim akan memberi penghormatan kepada pemenang empat anugerah iaitu Pencapaian Cemerlang/Sepanjang Hayat; Inovasi; Penglibatan dan Kreativiti Belia serta Pendidikan dan Penyelidikan Akademik.

Sheikh Tamim juga dijadual mengadakan perbincangan dengan Dr Mahathir pada Khamis, yang bertujuan mempromosi hubungan dua hala.

Mereka dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. - Bernama