SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu belajar untuk membuang ego sebagaimana nasihat yang pernah diberikan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat satu ketika dulu.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), kenyataan Nik Mohamad Abduh itu merujuk kepada cara Takiyuddin menguruskan pemecatan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.
"Saya kenal dia (Takiyuddin) sejak zaman Almarhum ayah saya lagi (Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan kami amat rapat.
Dia kena belajar buang ego diri bila jadi orang besar.
"Itu nasihat ayah saya pada dia.
Tak tahulah kalau dia tak tahu nasihat ayah ini,” kata katanya.
Jelas Nik Abduh, beliau bertindak mempertahankan Mohd Khairuddin dengan meminta penjelasan mengenai tindakan pengguguran itu kerana sudah menjadi kewajipan untuk mempertahankan sahabat yang sedang susah sebagaimana sunah Nabi.
"Kawan kita dalam luka musibah, kita tambah lagi garam untuk tambahkan lagi musibah.
Mana adab jamaah dan adab berkawan?
Jangan ajar saya bab adab kalau kita lebih tak beradab,"katanya.
Pada 16 Januari lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata, pihak yang berani mengaitkan pengguguran jawatan Mohd Khairuddin dengan isu Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) berdepan tindakan undang-undang.
Ia susulan pemecatan Mohd Khairuddin yang dikaitkan dengan isu MN dan PN.