KUALA LUMPUR - Empat jalan utama menuju ke Bangsar akan dilencongkan susulan tular info berkaitan perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap ditukar ke kawasan sekitar LRT Bangsar, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi sehingga selesai.
"Antara jalan terlibat adalah Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.
"Selain lencongan jalan, pihak pengoperasian stesen MRT, LRT, Monorail dan KTM juga akan membuat penghentian sementara pengoperasian bermula jam 7 pagi bagi beberapa stesen utama di sekitar Kuala Lumpur seperti diumumkan dalam siaran media semalam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, langkah ini diambil berikutan tular maklumat berkaitan perhimpunan yang akan dijalankan di LRT Bangsar.
"Polis menerima maklumat mutakhir pada jam 11 malam dan juga info yang tular di media sosial bahawa terdapat beberapa individu dan pihak yang akan menganjurkan perhimpunan pada jam 11 pagi di LRT Bangsar.
"Saya menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di Bandaraya Kuala Lumpur, terutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya perlu merancang perjalanan dan urusan masing-masing," katanya.
Menurutnya, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuatkuasa.
"Ini demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta kesihatan umum.
"Semua lapisan masyarakat harus memahami pentingnya mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan fizikal dan elakkan berada di dalam kelompok yang ramai agar kita dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 ini," katanya.
Tegasnya, polis tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil menganjurkan atau menyertai perhimpunan berkenaan.
Pada Jumaat, tular info di media sosial berkaitan perhimpunan mendesak Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki ditangkap yang dijadual berlangsung Sabtu ditukar ke kawasan Bangsar, Kuala Lumpur.
Ia dipercayai susulan perintah larangan dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini melarang perhimpunan sekitar Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka, selama tujuh hari bermula Khamis.
Penganjur himpunan yang menamakan mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, himpunan akan tetap diteruskan.
Himpunan #TangkapAzamBaki akan diteruskan di bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar,katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.