SHAH ALAM - Pelbagai variasi buku yang pelbagai dan tawaran harga yang murah menjadi antara tarikan pengunjung ke Jualan Gudang Karangkraf 2022 bertempat di Kompleks Karangkraf, di sini yang bermula pada Jumaat.
Menurut seorang pengunjung, Mohamed Manasir Yacoob Hussain, 39, dia datang dari Pulau Pinang semata-mata untuk menghadiri jualan gudang tersebut kerana teruja dengan harganya yang murah ditambah dengan kepelbagaian genre buku yang ada.
"Setiap tahun saya memang akan datang ke jualan ini sebab boleh dikatakan setiap buku yang disediakan merangkumi minat serta bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur dan sekarang saya tengok ada bahagian kitab, sejadah dan rehal yang baharu.
"Harga sangat berpatutan terutamanya sejadah tebal boleh dapat RM18 sahaja, kalau di luar dengan kualiti terbaik seperti itu, biasanya harga RM20 ke atas,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu, Sahilla Khairool Anuar mengakui, dia sering membawa anak-anaknya berkunjung ke Jualan Gudang Karangkraf pada setiap tahun bagi mendapatkan buku yang diminati.
"Selain buku latihan, anak-anaknya gemar membeli pelbagai jenis komik yang dijual di sini, manakala buku-buku berkaitan agama dan novel misteri menjadi pilihan,” ujarnya.
Menurut guru berumur 41 tahun itu, dia sangat berpuas hati dengan susunan dan label yang disediakan di situ.
"Kadang kala kita selalu ambil sahaja buku tapi tidak tahu harga. Jadi bila dah dilabel dengan harga dan ruangan tertentu, ia memudahkan pengunjung. Setakat ini, penyusunan di jualan gudang ini memang puas hati.
"Prosedur operasi standard (SOP) turut dijaga kerana kita diberikan nombor tag setiap seorang, jadi kemasukan pengunjung dalam premis terkawal,” jelasnya.
Bagi Haslina Hassan, 52, pula, dia mengetahui mengenai jualan gudang tersebut melalui hebahan di media sosial Instagram.
Perunding kewangan itu turut berpuas hati dengan variasi buku yang ditawarkan dan harga murah terutamanya di bahagian al-Quran.
"Bahagian al-Quran dan sejadah sangat berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Sejadah tebal semalam (Khamis) saya tengok di tempat lain jual dengan harga RM35 satu, tapi di sini boleh dapat harga RM18 dengan harga ahli. Kalau bukan ahli pun hanya RM20.
"Dalam masa sama, kita boleh beli buku dengan banyak dan sedekah kepada orang. Alhamdulillah jualan buku ini memang bermanfaat dan ini sudah masuk kali ketiga saya datang.
"Pengunjung boleh dapatkan pelbagai jenis buku seperti masakan, novel dan buku ilmiah. Saya rasa tidak rugi kalau beli sebab banyak ilmu yang kita dapat melalui pembacaan buku-buku ini. Masa harga rendah inilah kita kena rebut untuk memiliki buku yang kita mahu,” katanya.
Jualan Gudang Karangkraf 2022 berlangsung dari 21 Januari hingga 30 Januari depan dan dibuka dari jam 9 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat manakala bagi Sabtu dan Ahad, ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam.