PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berkata, Riyad Mahrez tidak menyertai The Citizens ke Stadium St Mary's bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton apabila diberikan pelepasan seminggu setelah Algeria tersingkir awal dari Piala Negara-Negara Afrika.
Kapten Algeria berusia 30 tahun itu sebelum ini terlepas sepakan penalti ketika Algeria tewas 1-3 kepada Ivory Coast menyaksikan penyandang juara tersebut tersingkir pada peringkat kumpulan edisi Cameroon berkenaan.
"Ya, dia diberikan cuti selama seminggu selepas kejohanan AFCON dan akan kembali bersama pasukan minggu depan," kata Guardiola.
Sementara itu, Guardiola berkata, Nathan Ake akan kembali menyertai pendahulu liga tersebut, namun status Oleksandr Zinchenko masih kekal seperti sebelum ini selepas kedua-duanya terlepas perlawanan berdepan Chelsea minggu lalu.
Untuk rekod, Manchester City, yang memimpin liga dengan 56 mata, tidak keciciran mata sejak kali terakhir tewas 0-2 kepada Crystal Palace pada Oktober, akan memburu kemenangan ke-13 berturut-turut apabila bertandang ke kubu kelab pantai selatan tersebut.
Sementara itu, Southampton kendalian Ralph Hasenhuettl, yang mengikat City seri tanpa jaringan awal musim ini, hanya menang lima kali setakat ini, namun Guardiola tetap memuji kemampuan Hasenhuettl mengemudi The Saints menjelang perlawanan tersebut.
"Mereka mempunyai pengambil sepakan percuma terbaik di dunia. Sejujurnya sebagai pengambil bola mati, dia adalah luar biasa.
"Kualiti yang dimiliki para pemain dan pengurus cukup luar biasa, antara yang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini. Saya percaya ia sentiasa akan menjadi perlawanan yang sukar. Para pemain tahu kami mempunyai cabaran yang luar biasa," katanya merujuk kepada pemain tengah James Ward- Prowse.