KUALA LUMPUR - Suasana di sekitar LRT Bangsar yang dijangka akan menjadi lokasi perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki meletak jawatan pada pagi Sabtu kelihatan tenang.
Keadaan terkawal tanpa kehadiran mana-mana peserta perhimpunan setakat ini.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, sejumlah anggota polis ditempatkan di sekitar lokasi ini bagi persediaan sekiranya perhimpunan ini dijalankan.
Beberapa petugas media dari pelbagai agensi dilihat turut berada di sini bagi membuat liputan berkaitan perhimpunan yang dijangka akan berlangsung pada pagi ini.
Sebelum ini, polis menerusi kenyataan memaklumkan empat jalan utama menuju ke Bangsar akan dilencongkan susulan tular info berkaitan perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap ditukar ke kawasan sekitar LRT Bangsar pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi sehingga selesai.
"Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Bangsar; susur Jalan Bangsar Utama; Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar; Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.
"Selain daripada lencongan jalan, pihak pengoperasian stesen MRT, LRT, Monorail dan KTM juga akan membuat penghentian sementara pengoperasian bermula jam 7 pagi bagi beberapa stesen utama di sekitar Kuala Lumpur seperti diumumkan dalam siaran media semalam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.