MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta mana-mana pihak untuk tidak menuding jari menyalahkan sesiapa berhubung isu melibatkan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut beliau, pihaknya optimis untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang melanda kedua-dua pihak itu.
"Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kita perlu mengutamakan kepentingan negara dan saya berpandangan Lee Zii Jia dan BAM sentiasa meletakkan kepentingan negara mengatasi segalanya.
"Untuk itu, tentunya ada peluang untuk saya sebagai orang tengah mengajak kedua-dua pihak berbincang untuk mencari jalan keluar bagi mengatasi kemelut ini.
"Saya harap untuk perkara ini jangan terlalu menuding jari kepada mana-mana pihak, Lee Zii Jia tidak, BAM pun tidak. Kita cari jalan keluar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Larian Baton Komanwel sempena Queen's Baton Relay Commonwealth Games 2022 di Padang Lintau, Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini pada Sabtu.
Larian sejauh lima kilometer itu dimulakan oleh Kaunselor Politik (Dalaman) Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia, Tom Shepherd selaku pemegang baton pertama.
Larian akan melalui 10 check point di sekitar Gugusan Manjoi dengan disertai 1,000 peserta terdiri dalam kalangan atlet negara, wakil-wakil agensi, belia dan penduduk setempat.
Mengulas mengenai hukuman yang dianggap berat dikenakan terhadap pemain berusia 23 tahun itu, Ahmad Faizal berkata, perkara itu tidak perlu dilihat secara negatif.
"Tidak usahlah kita negatif. Kita mahu mencari solusi menjaga imej negara dan kepentingan semua pihak dan akan cari jalan keluar," katanya.
Ahmad Faizal berkata, amat mudah untuk pihak berkenaan meletakkan salah kepadanya selaku menteri yang memegang portfolio Kementerian Belia dan Sukan.
"Saya terima ini sebagai asam garam hidup seorang menteri, namun apa yang penting tanggungjawab saya untuk mencari jalan keluar agar kedua-dua pihak mendapat penyelesaian menang-menang.
"Bagi saya, itu yang paling penting. Kritikan membina perlu demi kepentingan kita semua," katanya ketika mengulas pihak yang menyalahkannya dalam isu tersebut.
Terdahulu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan juara All England, Zii Jia dalam kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa dari 18 Januari.
Ia susulan keputusan juara pemain No. 7 dunia itu mahu meninggalkan BAM menerusi surat peletakan jawatan yang dihantarnya pada 11 Januari lalu.