KUALA LUMPUR - Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan mengalami kekalahan besar 0-9 di tangan India pada aksi sulung Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman, awal pagi Sabtu.
Pada aksi di Kompleks Sultan Qaboos itu, India menjaringkan lapan gol padang dan satu gol menerusi pukulan sudut penalti bermula dengan jaringan pembukaan Katariya Vandana pada minit kelapan sebelum Deep Grace Ekka menyempurnakan pukulan sudut penalti dua minit kemudian.
India menambah dua gol sebelum rehat menerusi Navneet Kaur pada minit ke-15 dan ke-27 sebelum Vandana menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-34 selain giliran Lalremsiami mencatat nama sebagai penjaring gol keenam India pada minit ke-38.
Tiga lagi gol India masing-masing dijaringkan Monika pada minit ke-40 dan Sharmila Devi (minit ke-46 dan ke-59).
Dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini, Ketua Jurulatih negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengakui India selaku pasukan ranking pertama Asia bukan tandingan anak buahnya yang kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, India yang menduduki tempat keempat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 mempunyai misi turun ke kejohanan itu untuk membuktikan mereka adalah pasukan terbaik, malah turut membariskan 16 pemain yang beraksi di temasya Olimpik.
"Pada perlawanan hari ini India menunjukkan bahawa mereka berada pada tahap yang tinggi terutama dalam sudut teknikal, kemahiran bermain hoki serta tahap kecergasan.
"Kekalahan ini pastinya menjadi satu pengalaman pahit untuk pemain terutamanya mereka yang tidak mempunyai sebarang caps (penampilan) antarabangsa dan kami barisan kejurulatihan memainkan peranan untuk menaikkan semula motivasi mereka yang sememangnya kecewa,” katanya.
Mohd Nasihin pada masa sama berkata, banyak penambahbaikan perlu dilakukan terutama dari sudut kecergasan pemain dan kemahiran teknikal untuk diserapkan dalam pasukan sebelum turun berdepan Singapura pada aksi kedua, esok.
"Kami akan melihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan barisan kejurulatihan akan membuat analisa video untuk meneliti sudut yang perlu diperbaiki. Saya juga mengingatkan pemain bahawa kami masih belum terkeluar daripada kejohanan dan misi di sini masih belum berakhir,” katanya.
Selepas bertemu Singapura, Malaysia dijadualkan melengkapkan saingan kumpulan menentang Jepun pada 24 Januari dalam usaha memburu dua kedudukan teratas untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan itu yang juga merupakan kelayakan Piala Dunia Wanita 2022. - Bernama