PPD diarah lapor, kemaskini perkembangan kes Covid-19 di sekolah

Iklan
Mohamad ketika meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Sabah di Dewan Terbuka Bongawan, Papar.

PAPAR - Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarah supaya sentiasa mengemaskini dan melaporkan dari masa ke masa perkembangan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan semasa berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

"Semua PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta sentiasa kemaskini dan kita sudah minta PPD untuk berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya ada peningkatan kes dari masa ke masa.

"Kita mahu kawal keadaan sebaik mungkin dan kluster yang wujud serba sedikit turut menjejaskan tetapi saya percaya dengan KPM dan KKM," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Sabah di Dewan Terbuka Bongawan, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung wujudnya kluster jangkitan Covid-19 di sekolah, termasuk di Sabah.

Diminta mengulas lanjut adakah prosedur operasi standard (SOP) di dalam asrama dan kelas bersemuka akan diteliti semula, beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, perbincangan akan dilakukan antara KPM dan KKM.

Iklan

"Kita sediakan SOP yang cukup ketat di semua institusi pendidikan KPM termasuk di sekolah-sekolah.

"Jika ada peningkatan (kes), kita akan semak apa pendekatan terbaik hasil perbincangan KPM dan KKM," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung isu keselamatan murid dan pelajar sekolah yang ditularkan baru-baru ini di Pitas, beliau memaklumkan kejadian itu di luar bidang kuasa KPM.

"Ia berlaku diluar kawasan sekolah. KPM hanya bertanggungjawab dalam sekolah dan mana-mana institusi pendidikan. Jika berlaku apa-apa diluar sekolah, kita serah kepada pihak berkaitan.

"Namun, kebajikan dan keselamatan murid kita akan pantau dari masa ke masa dan kita akan bantu," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sekumpulan murid menaiki bot dalam keadaan bersesak tanpa memakai jaket keselamatan untuk ke sekolah.