KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung pemilihan lokasi baharu pusat latihan dan stadium pertandingan bagi skuad negara.
Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata kekangan peruntukan dan masalah pemilihan lokasi berkenaan antara yang bakal dibangkitkan pihaknya dalam pertemuan itu, malah perkara tersebut akan turut dipanjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Apabila (pembinaan) stadium ditender (sebelum ini), lokasi pada masa itu belum dimuktamadkan. Selepas tender diberikan, didapati kos kerja tanah melambung tinggi.
"Bajet diluluskan RM17 juta, tetapi dengan kerja tanah semua, ia mencecah RM35 juta. Jadi kami sedang berbincang dengan MSN untuk tukar lokasi kerana pemilihan lokasi di kawasan Wetlands Putrajaya itu juga bukan senang selain kerja-kerja tanah di kawasan berbukit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan Larian Baton Ratu Sukan Komanwel Birmingham 2022 oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini pada Sabtu.
Shahrul Zaman berkata berikutan kekangan kewangan, pihaknya turut menjangkakan hanya sebuah padang akan dibina sebelum ditambah pada masa akan datang bergantung kepada peruntukan sedia ada.
Dilapor, isu dana membelenggu pasukan ragbi negara termasuk persiapan Skuad Projek Ragbi 2026 atau dikenali sebagai skuad Bunga Raya 7s yang terpaksa menghentikan seketika program latihan mereka berikutan masalah tersebut.
Skuad Bunga Raya 7s akan menyertai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 15 Sebelah yang dijangka berlangsung pada Mei ini, sebelum mengharungi tiga pusingan kelayakan untuk meraih tempat ke saingan Piala Dunia di Perancis, yang bakal berlangsung bermula 8 September hingga 21 Oktober 2023.
Susulan masalah pemilihan pusat latihan, skuad ragbi terpaksa meneruskan latihan secara bersendirian dan masih menunggu keputusan serta kebenaran penggunaan kemudahan daripada MSN supaya latihan pusat dapat dimulakan.
Sebelum ini, skuad ragbi 7s negara berjaya menempah tiket ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 setelah menduduki tempat kedua teratas dalam senarai pasukan dari negara Komanwel yang menyertai Kejohanan Asia Ragbi 7s di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada akhir tahun lepas. - Bernama