'Jangan hanya cari salah PM, fokus bantu rakyat terkesan banjir'

Iklan
Noh (lima dari kanan) bergambar bersama kepimpinan UMNO dan MCA bergambar pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang di Pejabat MCA Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

KUALA SELANGOR - Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar diingatkan tidak hanya mencari salah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya perlu fokus membantu rakyat yang terkesan akibat banjir di negeri Selangor.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, Halimey selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seharusnya mendengar penjelasan yang tepat semasa sesi sidang khas Parlimen berkaitan banjir yang diadakan pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

"Saya hendak beritahu, kerajaan Persekutuan lebih berani kerana kita memanggil sidang khas Parlimen.

"Beberapa (ahli Parlimen) berucap termasuk pembangkang dan kita (kerajaan) menjawab dan memberi penjelasan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tanjong Karang di Pejabat MCA Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, tidak timbul isu Ismail Sabri lewat menziarahi mangsa banjir, sebaliknya Perdana Menteri dan beliau sendiri turun padang beberapa kali untuk melawat mereka yang terkesan di negeri Selangor.

Iklan

"Janganlah hanya menuding salahkan kerajaan Persekutuan, sebaliknya perlu memikirkan bagaimana hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan Selangor dicabar untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) segera bagi membincangkan berkaitan banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri itu pada Disember tahun lalu.

"Sepatutnya Selangor juga perlu buat sidang DUN sama seperti yang dilakukan kerajaan Persekutuan yang mengadakan sidang khas Parlimen.

"Saya hendak cadang diadakan sidang khas DUN Selangor kerana ia penting supaya rakyat boleh dengar apa yang dibahaskan oleh ADUN Selangor," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, PKR Selangor menafikan kenyataan Perdana Menteri bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang 'hilang' ketika bencana banjir melanda.

Halimey turut menganggap kenyataan Perdana Menteri ketika banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu itu juga boleh diibaratkan 'meludah ke langit'.

Pada Khamis, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat panas hampir 10 minit apabila Perdana Menteri berkata, beberapa wakil rakyat pembangkang 'hilang' ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu.

Ismail Sabri memberitahu Dewan Rakyat, beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir, bagaimanapun Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang tidak kelihatan.