JUARA dua kali Grand Slam, Simona Halep meneruskan permulaan cemerlang musim ini apabila menumpaskan pemain dari Montenegro Danka Kovinic 6-2, 6-1 untuk mara ke pusingan 16 terakhir Terbuka Australia.
Pemain pilihan ke-14 dari Romania itu tampil bersemangat di John Cain Arena untuk mengatasi Kovinic, yang sebelum ini menyingkirkan juara Terbuka Amerika Syarikat, Emma Raducanu, menjadi pemain pertama negaranya yang mara ke pusingan ketiga kejuaraan perseorangan Grand Slam.
Iklan
Iklan
Selepas terlepas Wimbledon dan Terbuka Perancis pada 2021 akibat kecederaan, Halep kembali pada tahap kecergasan terbaik apabila mencatat lapan kemenangan berturut-turut, termasuk kejuaraan pemanas badan di Melbourne sebelum ini.
"Saya berasa hebat kerana boleh beraksi di pusingan keempat sekali lagi. Sejujurnya beraksi di hadapan orang ramai sentiasa menyeronokkan, terima kasih semua kerana masih terus menyokong biarpun dalam keadaan cuaca panas,” kata Halep tewas kepada Serena Williams pada suku akhir tahun lalu.
Kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 30 tahun yang berstatus ranking ke-30 dunia tersebut akan berdepan Alize Cornet dari Perancis untuk perebutan tempat ke suku akhir.