MARANG – Seekor penyu ditemui mati di perairan Pulau Kapas pada Sabtu menjadikan jumlah kematian haiwan marin itu yang direkodkan di Terengganu pada tahun ini dalam tempoh 22 hari adalah sebanyak 10 ekor.
Bangkai penyu agar jantan dewasa itu ditemui terapung berhampiran sebuah resort di Pulau Kapas oleh pemandu bot sekitar jam 11 pagi sebelum ia dibawa ke pantai.
Aktivis pemuliharaan penyu, Rani Awang ketika dihubungi Sinar Harian berkata, berdasarkan keadaan bangkai, penyu yang sudah matang itu dipercayai mati akibat lemas selepas terperangkap di dalam pukat.
"Penemuan bangkai penyu ini kemudian dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu pada jam 12 tengah hari.
"Saya sedih, ini bukan kematian pertama melibatkan penyu kerana beberapa ekor bangkai penyu sudah ditemui sepanjang bulan ini,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, sebanyak 10 bangkai penyu agar melibatkan enam penyu betina dan empat penyu jantan sudah ditemui sejak Januari tahun ini.
Penemuan pertama direkodkan pada 3 Januari lalu melibatkan penyu agar betina dewasa di Pantai Penunjuk, Kijal, Kemaman disusuli di Pelabuhan Chendering, Seberang Takir, Pulau Kerengga, Ru Kudung di Paka, Batu Burok dan Kemasik.
Pada 14 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan bangkai seekor penyu agar jantan dewasa dianggarkan berusia 20 tahun ditemui terdampar di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Bangkai penyu sepanjang 1.3 meter dan berat antara 40 hingga 50 kilogram (kg) itu ditemui orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu sekitar jam 10 pagi.
Berdasarkan statistik, sebanyak 51 kes kematian melibatkan hidupan marin itu yang direkodkan di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.