KOTA BHARU - Pas bersedia menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Sabtu.
Setiausaha Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai sebuah parti lama dalam arena politik, belum pernah pihaknya tidak mengambil bahagian dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan di negara ini.
"Jika benar-benar berlaku (PRN), saya memberi jaminan Pas akan menyertainya," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Majlis Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Penghulu Kaum Tiong Hwa Parlimen Kota Bharu di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun Takiyuddin berkata, Pas akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai PRN Johor dari segi persiapan dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, masih terlalu awal untuk Pas membincangkan soal kerjasama dengan mana-mana parti.
Ini kerana katanya, proses tersebut masih belum berjalan.
"Pada asasnya Pas sedia bekerjasama dengan semua parti termasuklah Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) tetapi perlu meletakkan penyatuan ummah di hadapan.
"Bagi Pas, pilihan raya adalah proses pemilihan yang akan mewujudkan kestabilan kepada negara dan rakyat," katanya.