BN, UMNO yakin menang besar dalam PRN Johor

Iklan
Hasni mengadakan sidang akhbar berkenaan pembubaran DUN Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yakin akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang baharu dan lebih kukuh.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya sedia meletakkan calon untuk jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Iklan
Iklan

Menteri Besar Johor itu berkata, jentera parti BN dan UMNO sudah bersedia dengan PRN dan mempunyai kepercayaan serta semangat yang tinggi untuk menang.

"Peluang UMNO (untuk menang PRN Johor) amat baik sekali, keyakinan kita tinggi dan kita berharap akan dapat bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRU14 lalu.

Iklan

"Soal pengagihan kerusi masih belum diputuskan dan ia akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan ketiga-tiga parti komponen dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Johor di sini pada Sabtu, selepas pulang daripada mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi memohon pembubaran DUN Johor.

Iklan

Mengenai kerjasama dengan parti lain dalam PRN itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, pintu kerjasama masih terbuka dan masih belum tertutup.

"Sebarang kerjasama atau bentuk komposisi parti yang akan bertanding dalam PRN Johor adalah tertakluk kepada keputusan dibuat pucuk pimpinan parti.

"Negeri akan beri maklum balas berhubung keputusan itu termasuklah berhubung kerjasama antara parti komponen dalam gabungan BN sendiri," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi DUN Benut yang disandangnya, beliau secara berseloroh berkata akan kembali bertanding semula sekiranya dibenarkan presiden parti.