Pembaca setia Sinar Harian, penyokong tegar Rasuah Busters

Iklan
Mohd Haris Samsudin menunjukkan surat yang menyatakan isi hatinya bagi memerangi isu rasuah di negara ini.

KUALA PILAH - Biarpun tanpa pendapatan tetap sebagaimana orang lain namun dia tetap akan membeli akhbar Sinar Harian sehingga dua naskhah setiap hari.

Demikianlah rutin harian Mohd Haris Samsudin, 68, yang mesra disapa Pak cik Aris yang tinggal di Tanjung Ipoh, dekat sini.

Iklan
Iklan

Anak kelahiran Kampung Sungai Macang Hilir, Lenggeng, Negeri Sembilan itu berkata, dia secara konsisten akan membeli akhbar nombor satu negara itu setiap pagi.

Ketika ditemui baru-baru ini, di tangan Pak cik Aris memegang dua naskhah Sinar Harian untuk dibaca, seterusnya dia akan memotong keratan paling disukainya iaitu melibatkan isu rasuah di negara ini malah poster berkaitan dengan rasuah juga ditampal di bilik penginapan sementaranya.

Iklan

Maka tidak hairan bapa lima anak itu merupakan penyokong tegar pasukan Rasuah Busters.

Dia yang bertugas sebagai sukarelawan di beberapa lokasi di daerah Kuala Pilah mendakwa, menyokong usaha murni Rasuah Busters sejak hari pertama gerakan itu ditubuhkan setahun lalu.

Iklan

Katanya, inisiatif Rasuah Busters bersama rakan gabungan membanteras rasuah dan menyampai mesej antirasuah kepada orang ramai merupakan langkah tepat terutama ketika negara terpalit dengan pelbagai isu rasuah berprofil tinggi.

"Saya mengikuti semua perkembangan Rasuah Busters dan memotong keratan akhbar Sinar Harian yang memaparkan usaha pasukan ini melaporkan isu rasuah.

"Ketika mana mengetahui Konvoi #RasuahBusters akan ke medan selera Pangkin di pekan Kuala Pilah pada Sabtu lalu, saya memutuskan untuk berada di sana dan bertemu pasukan Rasuah Busters," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Ketika pasukan Rasuah Busters ke tempat penginapan sementaranya di sebuah dewan orang ramai berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad, dekat sini, terpampang pelbagai keratan artikel Rasuah Busters di dinding biliknya itu.

Mohd Haris Samsudin bersama sebahagian koleksi keratan artikel Rasuah Busters yang ditampal di kediaman sementaranya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Keratan-keratan artikel Rasuah Busters itu dipotong dengan penuh teliti dan dilekatkan pada dinding.

Bukan sekadar itu, pelbagai barangan cenderahati Rasuah Busters dijadikan koleksi istimewa dirinya.

Antara barangan Rasuah Busters yang disimpan dengan baik adalah plakad, batch pelekat, bendera serta baju kemeja-T.

Ditanya mengapa dia begitu tertarik dengan isu rasuah, Pak cik Aris berkata, perkara itu perlu diambil berat oleh semua pihak kerana rasuah boleh memusnahkan negara.

Katanya, jika perkara itu dipandang sebelah mata, rasuah akan terus jadi barah di dalam masyarakat sekali gus meletakkan negara dalam situasi sangat bahaya.

"Oleh sebab itu, saya sentiasa mengambil berat isu rasuah dan menyokong perjuangan Rasuah Busters," katanya.

Ujarnya, dia menjadi pembaca setia Sinar Harian kerana media arus perdana itu melaporkan berita secara bebas, seimbang, telus serta tulus dan kesemua elemen tersebut menjadikan laporan akhbar Sinar Harian sangat dipercayai sekali gus diyakini.