PEP Guardiola menyifatkan karakter para pemain Manchester City ketika bangkit mengikat Southampton 1-1, sekali gus menyaksikan rekod berturutan kemenangan berpanjangan penyandang juara tersebut terhenti di Stadium St Marys' sebagai antara terbaik musim ini.
Tandukan Aymeric Laporte pada minit ke-65 memastikan satu mata dibawa pulang Manchester City dari St Mary's selepas Kyle Walker-Peters memberi pendahuluan awal kepada Southampton.
The Citizens mendominasi perlawanan berintensiti tinggi tersebut, namun untuk kali kelima musim ini pendahulu liga tersebut dinafikan kemenangan kali kedua menentang The Saints.
"Kami bermain lebih baik berbanding berdepan Arsenal sebelum ini, apabila kami menang dan hari ini kami seri itu sudah memadai. Kadang-kadang anda layak menang dan tidak menang, tetapi cara kami bermain di St Mary's sangat baik.
"Southampton adalah kelab yang sangat bagus. Mereka teratur, mereka bermain 4-4-2, hantaran jauh, rentak yang baik dalam serangan balas, binaan yang baik... biarpun begitu kami tetap cemerlang hari ini," kata Guardiola.
Keputusan seri itu melebarkan pendahuluan City ke atas Liverpool kepada 12 mata walaupun anak buah Jurgen Kloop mempunyai dua perlawanan termasuk aksi berdepan Crystal Palace pada Ahad.
Pada masa sama Guardiola menegaskan,"Mengapa kami perlu hilang kepercayaan terhadap apa yang telah dilakukan? Ia adalah persembahan yang baik. Kami akan kehilangan mata, namun cara karakter para pemain terutamanya respon sangat baik.
"Orang ramai akan mengatakan persaingan liga belum berakhir dan itu bagus untuk kelab besar seperti Manchester City. Kami mempunyai banyak perlawanan sukar menunggu selepas ini, tetapi kami akan cuba untuk respon positif sehingga tamat.
"Saya ingin mendahului 40 mata di hadapan Liverpool, tetapi itu tidak mungkin pada Januari. Saya tidak menjangka untuk mendahului setakat ini, selepas ini kami akan berehat dan kembali sebaik mungkin," kata Guardiola.
KEPUTUSAN
Southampton 1-1 Manchester City
Walker-Peters 7'
Laporte 65'
Manchester Utd 1-0 West Ham Utd
Rashford 93'
Brentford 1-2 Wolves
João Moutinho 48'
Toney 71'
Rúben Neves 78'
Leeds Utd 0-1 Newcastle Utd
Shelvey 75'
Everton 0-1 Aston Villa
Buendía 43'