Comoros teruskan aksi kalah mati dengan 12 pemain

Iklan
Sebahagian pemain Comoros meraikan kemenangan ke atas Ghana. - Foto CNN

[DIKEMAS KINI] BIARPUN hanya tinggal 12 pemain yang masih cergas dan tidak dijangkiti Covid-19 pada Piala Negara-Negara Afrika 2022, Comoros tetap mahu meneruskan aksi kalah mati berdepan tuan rumah, Cameroon pada Selasa.

Pengurus besar Comoros, El Hadad Himidi berkata, berdasarkan peraturan kejohanan mana-mana pasukan masih dibenarkan beraksi dengan syarat memiliki 11 pemain yang masih cergas dan tidak disahkan negatif hasil ujian calitan yang dilakukan.

Iklan
Iklan

Justeru menurut El Hadad, skuad Les Coelacantes itu masih boleh terus beraksi pada kejohanan berkenaan biarpun ia terlalu berisiko.

"Keadaan ketika ini sememangnya sukar buat kami kerana sebahagian besar pemain dikesan positif Covid-19, termasuk ketua jurulatih, Amir Abdou.

Iklan

"Situasi ini bertambah sukar apabila kami bakal berdepan pasukan tuan rumah pada aksi kalah mati.

"Bagaimanapun kami akan tetap mencuba sedaya upaya bagi mengharungi perlawanan ini,” katanya.

Iklan

Untuk rekod, Comoros mara ke saingan kalah mati selaku pasukan yang menamatkan saingan pada kedudukan ketiga terbaik bagi saingan peringkat kumpulan.

Malah, debut Comoros kali ini turut menyaksikan pasukan itu mencipta kejutan apabila menewaskan Ghana 3-2 pada 19 Januari lalu bagi aksi terakhir Kumpulan C.

Bagaimanapun, kini Comoros kehilangan sebahagian besar pemain yang mengalami kecederaan serta disahkan positif Covid-19 termasuk ketiga-tiga penjaga gol dan ketua jurulatih.

Mengulas lanjut, El Hadad berkata, biarpun kelihatan sukar untuk meneruskan aksi pada saingan kali ini, namun pemain sedia ada tetap dilihat bersemangat untuk beraksi berdepan Cameroon.

"Saya tahu mereka cukup bersemangat untuk menentang Cameroon, apatah lagi pada debut sulung kejohanan ini.

"Tetapi dalam masa sama, kami juga sedar, kami tidak dapat menurunkan sebahagian besar pemain untuk perlawanan itu dan kami akan terima apa sahaja keputusannya kelak,” katanya.