PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengambil keputusan untuk menyerahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenai kes rampasan 351 kontena beras yang dirampas pada September tahun lalu ketika dalam perjalanan ke Labuan selepas dipunggah keluar dari Pelabuhan Sepanggar.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, kes tersebut disiasat di bawah peruntukan Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan bukan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) 1994 yang tertakluk di bawah MOA dan didapati tiada sebarang pelanggaran pada akta tersebut.
Iklan
Iklan
"Penahanan 351 kontena beras oleh pihak JKDM adalah berdasarkan justifikasi tertentu melibatkan peraturan dan syarat transshipment atau transit dagangan di pelabuhan negara. Oleh yang demikian MOA telah mengambil keputusan untuk menyerahkan kes tahanan 351 kontena beras ini kepada pihak JKDM untuk disiasat dan diambil tindakan di bawah bidang kuasa Akta Kastam 1967," katanya.
Semalam sebuah portal berita melaporkan pembeli atau pengimport beras di selatan Filipina memutuskan untuk memulaukan dan mengenepikan Sabah dan Labuan dalam urusan penghantaran beras ke negara mereka.
Keputusan itu dibuat kerana pengimport terbabit tidak berpuas hati dan mendakwa kontena beras yang ditahan oleh JKDM itu dilakukan secara tidak sah.
Rentetan daripada kes tersebut, sebuah syarikat pengedar beras didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas pertuduhan menyeludup 16,000 beg beras putih Vietnam bernilai RM862,752. Ia merupakan sebahagian daripada 351,000 beg dalam 351 kontena yang dirampas oleh JKDM.
Sehubungan itu, MOA menyeru supaya semua pihak agar bertenang dan memberikan kerjasama serta ruang kepada JKDM untuk menjalankan siasatan dan tanggungjawab dengan berkesan tanpa campur tangan daripada pihak luar.