SHAH ALAM - Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan pemimpin yang menerajui parti UMNO kini amat sinonim dan dekat dengan imej rasuah kleptokrasi.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana ahli UMNO hingga kini masih menaruh harapan kepada pemimpin-pemimpin kleptokrasi.
Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, UMNO yang dahulunya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hari ini kembali berkuasa di Putrajaya dan mentadbir negara.
"Terkini negara dimalukan sekali lagi kerana mantan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana mahkamah rayuan telah mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
"Lebih malang dalam kalangan pimpinan UMNO dan Pas serta segelintir rakyat yang terus percaya Najib adalah mangsa fitnah dan semua pertuduhan adalah rekaan DAP.
"Semua ini jelas bahawa kebangkitan rakyat dalam PRU14 yang lepas adalah tepat dan bukan kerana fitnah atau adu domba,” katanya ketika sidang akhbar Konvensyen Nasional 2021 Parti Amanah yang diadakan secara dalam talian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamad turut menyentuh tentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan di mahkamah.
Tambahnya, 12 daripada pertuduhan itu membabitkan kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 penggubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.
"Bagi saya mudah, apabila rasuah meningkat, menteri dan pegawai kerajaan akan kaya, negara serta rakyat makin miskin.
"Sebaliknya, apabila rasuah menurun, negara makin kaya dan ekonomi makin kuat, tanda tersebut boleh lihat sedang berlaku di Indonesia sekarang.
‘Inilah citra parti melayu terbesar, tonggak pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sarat dengan rasuah kleptokrasi, merekalah antara punca masalah utama negara, bukan penyelesai masalah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa rakyat kini perlu pastikan ombak kesedaran dan momentum kebangkitan rakyat kekal kuat sehingga PRU15 yang akan datang.
"Tahniah kepada Pemuda Amanah dan rakan-rakan mereka yang telah memulakan kebangkitan ini sekarang,” katanya sebagai mengulas tindakan Pemuda Amanah yang turut serta dalam perhimpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara pada Sabtu.