MADISON Keys meneruskan prestasi cemerlang di Terbuka Australia apabila menempah slot lapan terbaik selepas menjinakkan pilihan kelapan Paulo Badosa 6-3, 6-1 dalam aksi di Rod Laver Arena.
Tampil dengan status bekas finalis Terbuka Amerika Syarikat (AS), Keys di kedudukan ke-51 dalam ranking dunia menempah tempatnya dalam lapan terakhir Grand Slam buat kali pertama sejak Terbuka Perancis 2019 dengan kemenangan meyakinkan ke atas pemain Sepanyol itu.
"Saya sangat gembira dapat kembali ke kejuaraan ini, selepas sangat sedih kerana terlepas tahun lalu dan kehadiran penonton serta aura gelanggang yang menakjubkan ini membantu prestasi saya," kata Keys, yang tidak menyertai edisi 2021 kerana Covid-19.
Untuk rekod, Keys yang melonjak ke tangga ketujuh dunia pada 2016, mara ke suku akhir dua kali di Melbourne sebelum itu mengalahkan Venus Williams untuk mara ke separuh akhir pada 2015 tetapi tewas kepada Angelique Kerber pada peringkat ini tiga tahun kemudian.
Keys tampil beraksi pada momentum terbaik apabila mengawal rentak aksi di awal saingan, mematahkan lawannya dalam permainan servis pertamanya dan melabuh set dalam masa 32 minit setelah meletakkan servis Badosa di bawah tekanan secara berterusan.
Pada set kedua, Badosa cuba bangkit menyaingi sebelum Keys mematahkan dua kali percubaan pemain Sepanyol itu yang mula bergelut dalam cuaca panas.
Kesukaran Badosa berterusan apabila Keys menggagalkan kebangkitan kali ketiga untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Saya percaya telah melakukan servis dengan baik dan kembali dengan sangat baik, jadi saya memikirkan bola pertama saya mempunyai sedikit kelebihan pada banyak mata.
"Saya tahu perlu mengambil setiap peluang dalam perlawanan ini dan amat gembira kerana dapat pergi ke pusingan seterusnya," kata Keys.