SHAH ALAM - Penduduk menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengambil tindakan segera berhubung masalah mendapan jalan yang berlaku di dua lokasi di Jalan Ehsan, Kampung Jalan Kebun di sini menghala ke pasaraya Econsave.
Seorang penduduk, Mahmud Mastam, 44, berkata, perkara tersebut sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu tetapi bertambah teruk pada tahun lepas hingga kini.
Menurutnya, jarak antara lokasi mendapan pertama ke lokasi kedua kira-kira 150 meter dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya khususnya yang menunggang motosikal.
"Keadaan di situ juga sangat gelap pada waktu malam walaupun terdapat lampu...malah, longkang yang terdapat di situ juga hanya longkang tanah dan ia juga punca tanah mendap apabila berlaku hujan.
"Tiada papan tanda amaran diletakkan dan hanya terdapat kon atau pengadang diletakkan di situ...Tapi disebabkan keadaan yang gelap, masih ramai yang tidak perasaan dengan keadaan jalan yang mendap serta pengadang yang diletakkan," katanya yang bimbang jika tindakan lambat diambil boleh menyebabkan insiden tidak diingini sehingga meragut nyawa.
Menurutnya, pada 6 Februari lalu, beliau dan beberapa wakil penduduk mengadakan pertemuan dengan Norhalim Sirome iaitu wakil kepada Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu atau Mat Sabu, ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ketua Kampung Jalan Kebun serta Ahli Majlis MPP Zon 11 bagi membincangkan berhubung perkara tersebut serta beberapa permasalahan lain yang dihadapi penduduk.
"Semua pihak ambil maklum mengenai perkara itu dan pihak kami difahamkan, pejabat ADUN sudah memanjangkan permasalahan itu kepada JKR dan permohonan peruntukan pembaikan melalui tabung amanah infra yang dipegang oleh Pejabat Daerah Tanah Klang telah dibuat.
"Kita berharap tindakan segera dapat diambil demi keselamatan pengguna serta penduduk kampung...Lagipun laluan dua hala ini merupakan jalan alternatif atau penghubung kepada penduduk dari Banting dan Jalan Kebun untuk masuk ke Kota Kemuning seterusnya ke Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas)," katanya kepada Sinar Harian.
Mahmud berkata, apa yang penting pihak yang bertanggungjawab dapat melihat dua isu ini iaitu jalan rosak serta mendap di situ dan banjir yang kerap berlaku apabila hujan lebat.
Katanya, penduduk menyarankan longkang konkrit dibina sepanjang jalan itu termasuk penambahan lampu jalan, selain jalan serta bahu jalan juga perlu dilebarkan.
"Kita harap beberapa perkara ini diambil kira kerana ia saling berkait," katanya berharap aduan tersebut dapat dipertimbangkan dan tidak dijadikan sebagai provokasi yang boleh menyebabkan persepsi buruk antara penduduk dan pihak terlibat.
Sementara itu, Sinar Harian dalam proses mendapatkan kenyataan daripada JKR berhubung isu tersebut.