SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikaikan keengganan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk memohon maaf kepadanya susulan hantaran ‘Selamat jalan?’ yang tular pada Sabtu.
Najib berkata, ahli Parlimen itu juga tidak mengaku telah memfitnah beliau dengan tangkap layar berkenaan.
"Selepas saya komen, Ahli Parlimen PH ini telah padam posting yang begitu bangang sekali.
"Tapi tak ada pun dia minta maaf atau mengaku dia telah fitnah saya dengan tangkap layar edit kononnya saya buat posting 'Selamat jalan?',” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Pekan itu menafikan dakwaan hantaran ‘Selamat Jalan?’ adalah daripada Facebook miliknya, sebaliknya ia telah disunting dengan menggunakan laman sosialnya.
Beliau menjawab dakwaan kononnya hantaran tersebut dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
"Pada ketika ini pun, geng Atok masih lempar fitnah terhadap saya. Sejak bila saya buat hantaran begitu? Dari mana kamu dapat tangkap layar kononnya saya pernah post ‘Selamat jalan?'
"Takkan kamu tidak tahu adalah terlalu mudah untuk edit hantaran FB palsu?” soalnya.
Dalam pada itu, Najib turut tidak berpuas hati dengan kenyataan ahli Parlimen itu yang menggelarnya ‘cytro’ selepas melihat hantaran ‘Selamat Jalan?’ tersebut.