KUANTAN - Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri ini melalui penganjuran Program Pemulihan Kenderaan Bermotor di Mentakab, Temerloh pada Sabtu.
Melalui program dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Ceria 1 Malaysia (PRWC1) itu, YBR memperuntukkan RM53,000 bagi membaiki 500 motosikal milik mangsa banjir yang rosak akibat ditenggelami banjir Disember lalu.
Pengerusi YBR, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, YBR telah bekerjasama dengan PRWC1 bagi menguruskan lokasi bengkel serta menyediakan keperluan teknikal bagi memudahkan proses pembaikan.
Menurutnya, melalui bantuan peralatan dan teknikal itu, diharapkan dapat meringankan beban kewangan mangsa banjir di Pahang.
"Pihak kami amat bersimpati dengan mereka, justeru program ini diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa untuk kembali menjalani kehidupan seharian.
"Difahamkan banyak organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) lain telah menghulurkan bantuan makanan dan pakaian jadi pihak YBR tampil menggunakan pendekatan ini bagi membantu mereka yang memerlukan.” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Megat Zulkarnain sebelum itu hadir meninjau perjalanan program terbabit di Mentakab pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Program PRWC1, Mohd Fitri Mohamad Yusof, Ketua Bahagian Operasi YAR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Program, Mohd Mukhti Abd Rahman.
Tambah beliau, selain di Pahang, YBR turut menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor termasuk di sekitar Hulu Langat, Serdang dan Klang.
Menurutnya, YBR juga berusaha untuk memperbanyakkan lagi program pendidikan dan komuniti bagi membantu menaiktaraf pendidikan negara serta membantu komuniti pada masa akan datang.