Penjaja Pantai Puteri resah, bimbang

Iklan
Papan tanda larangan yang dipasang MBMB.

MELAKA - Penjaja tempatan di sepanjang Pantai Puteri di sini meluahkan rasa resah tentang kewujudan beberapa tanda larangan yang dipasang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang didakwa sejak hampir seminggu lalu.

Menurut mereka, tidak kurang lapan papan tanda telah dipasang yang mengandungi larangan menjaja tanpa lesen, larangan berenang dan menjala ikan, larangan membawa haiwan peliharaan, larangan merokok di tempat awam, larangan motosikal di laluan awam dan larangan membuang sampah merata-rata.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk yang turut melakukan aktiviti menjaja di situ, Aminah Khamis, 62, berkata, dia mula menjaja di pantai terbabit sejak kira-kira tiga tahun lalu berasa pemasangan papan tanda itu satu amaran keras yang boleh meragut punca pendapatannya.

"Saya hanya berniaga ayam goreng RM1 dan inilah punca pendapatan saya walaupun saya tidak berniaga sepenuh masa kerana perlu menguruskan rumah.

Iklan

"Bukannya tidak mahu mengambil lesen tapi banyak proses dan kos perlu dilalui, malah jika mahu mendapatkan lesen perlu mendaftar syarikat sekali gus tidak melayakkan orang susah seperti saya mendapat bantuan kerajaan seperti bantuan sara hidup (BSH)," katanya ketika ditemui di Pantai Puteri, hari ini.

Aminah berkata, ketika pihak kontraktor memasang papan tanda itu beberapa hari lalu, dia ada bertanyakan arahan siapa dan apa perancangan MBMB.

Iklan

"Papan tanda tersebut turut mempamerkan tentang terdapat kemudahan kiosk dan berdetik di hati adakah ia ada kaitan dengan dakwaan orang mengatakan MBMB akan membangunkan 60 kios untuk peniaga berniaga di sepanjang pantai ini.

"Ketika ini, sehari menjual ayam goreng RM1, hanya mampu terjual sehingga 500 ketul, berbanding dahulu pada hari minggu boleh cecah 1,000 ketul.

"Ini pun hanya beberapa penjaja je berniaga di sini, jika 60 kios dibuka rasanya peniaga saling memandang sesama sendiri sahaja, ditambah pula larangan mandi manda di pantai ini, siapa yang akan datang berkunjung di sini?" luahnya.

Papan tanda larangan yang dipasang MBMB.

Sementara itu, ADUN Kawasan Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang ditemui berkata, larangan mandi manda di situ dibuat PBT mungkin ada alasan keselamatan, kerana sebelum ini pernah ada larangna sebegitu.

"Bagaimanapun larangan menjaja tanpa lesen ni sangat menyinggung perasaan penduduk setempat. Mereka ini bukan peniaga sepenuh masa dan apa gunanya kawasan mereka menjadi tumpuan tapi mereka tidak mendapat manfaatnya.

"Ini rezeki mereka yang cuba meraih pendapatan sendiri tanpa menyusahkan kerajaan," katanya.

Menurut Nor Azman, beberapa Datuk Bandar MBMB sebelum ini pernah turun padang melihat situasi dan mereka sendiri tidak melarang aktiviti penjaja di kawasan ini.

"Saya berharap sebagai PBT yang bertanggungjawab, MBMB perlu mengkaji semula larangan penduduk menjaja tanpa lesen dan saya akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar MBMB dalam tempoh terdekat.

"MBMB sepatutnya berbincang dengan penduduk untuk mencari satu penyelesaian menang-menang sebelum keputusan dibuat dan tidak boleh menimbulkan kemarahan penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin ketika dihubungi berkata, penjaja digalakkan mendapatkan lesen berbanding berniaga secara haram.

"Mereka boleh pohon lesen sementara kerana mereka berniaga pada waktu tertentu dan bukan sepenuh masa, cuma mereka hendaklah hadir ke MBMB.

"Mengenai beberapa larangan lain, ia lebih berbentuk nasihat, misalnya larangan berenang, sebagai PBT kita tidak menggalakkan pengunjung berenang dan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini, itu adalah tanggungjawab mereka sendiri," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan MBMB mahu membangunkan kiosk perniagaan di pantai terbabit, Mansor berkata, setakat ini pihaknya belum ada perancangan untuk membina kiosk di sepanjang Pantai Puteri.